Persatuan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Malaysia (PPPPSM)
FASAL 1 NAMA
(1) Nama pertubuhan ialah Persatuan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Malaysia (PPPPSM)
(Nama dalam Bahasa Melayu)
Selepas ini disebut Pertubuhan
FASAL 2 TEMPAT URUSAN
(1) Alamat tempat urusan pertubuhan ialah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Paras 2, Blok J Selatan Pusat Bandar Damansara, 50604 Kuala Lumpur.
(2) atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa Pusat. Alamat tempat urusan pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
FASAL 3 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA
Persatuan ini mempunyai logo sebagai tanda dan lambang di dalam perjuangan dan aktivitinya iaitu :
a. Huruf ‘P’ pendek dilapis-lapiskan dengan sebahagiannya dalam bentuk anyaman yang membawa maksud semua pegawai-pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Malaysia menyatupadukan diri di dalam sebuah persatuan untuk memperjuangkan cita-cita memberi khidmat yang mulia, ‘Pendidikan’ dengan semangat gigih dan waja.
b. Warna-warna yang digunakan ialah :
i. Emas melambangkan khidmat yang mulia.
ii. Biru melambangkan cita-cita.
iii. Merah melambangkan semangat yang gigih dan waja.
FASAL 4 TUJUAN / MATLAMAT
(1) Untuk memelihara dan memperjuangkan pelaksanaan dasar Pendidikan Kebangsaan.
(2) Untuk memelihara dan memperjuangkan keutuhan dan kepentingan profesion dan perkhidmatan pendidikan.
(3) Untuk merapatkan perhubungan dan perpaduan antara ahli-ahli dengan tujuan meninggikan taraf perkhidmatan.
(4) Untuk menggalakkan ahli-ahli perkhidmatan pendidikan meninggikan taraf pencapaian akademik dan ikhtisas dalam bidang pentadbiran dan profesion.
(5) Untuk menggalakkan perkembangan pengetahuan kemahiran dan penyelidikan dalam bidang ilmu pentadbiran dan pengurusan pendidikan.
(6) Untuk memelihara dan mengukuhkan etika profesion.
(7) Untuk mengadakan perhubungan erat dengan badan-badan profesion lain yang berdaftar yang berfaedah kepada Persatuan ini.
(8) Untuk membangkit dan meninggikan minat orang ramai serta mendapatkan kerjasama mereka dalam menyelesaikan masalah-masalah pendidikan.
(9) Untuk memelihara kepentingan dan kebajikan ahli-ahli serta mengadakan kumpulan dalam mencapai objektif persatuan.
FASAL 5 KEAHLIAN
(1) Warga Negara Malaysia berusia lebih daripada 21 tahun dan terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah termasuk Pegawai Penyandang.
(2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadang dan disokong oleh 2 orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha Cawangan Negeri yang hendaklah mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa Cawangan Negeri untuk diluluskan. Jawatankuasa Cawangan Negeri boleh, mengikut budi bicaranya, menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya. Permohonan menjadi ahli bagi tempat di mana Cawangan Negeri belum ditubuhkan hendaklah diuruskan mengikut kaedah itu juga oleh Setiausaha Agung dan Jawatankuasa Pusat.
(3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti tersebut di atas hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahunan yang ditetapkan diterima menjadi ahli pertubuhan dan berhaklah ia sebagai ahli.
(4) Orang-orang perseorangan yang telah berjasa kepada Profesion Perguruan dan Pendidikan boleh ditawarkan sebagai ‘Ahli Kehormat’
FASAL 6 BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN
(1) Bayaran masuk dan yuran perlu dijelaskan adalah seperti berikut :
a) Bayaran masuk RM5.00 (RM Lima)
b) Yuran tahunan RM12.00 (RM Dua Belas)
(2) Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari Cawangan Negeri terlebih dahulu di dalam tempoh 1 bulan dan awal tiap-tiap tahun. ¼ daripada yuran tahunan tersebut diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat.
(3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada 2 bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh atau wakil Setiausaha Agung atau Setiausaha Cawangan Negeri dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.
(4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yang tahunan bagi 3 tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli pertubuhan dan Jawatankuasa Pusat boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuas hati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.
(5) Jawatankuasa Pusat mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi mereka yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.
(6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat perwakilan pertubuhan. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.
FASAL 7 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
(1) Ahli yang hendaklah berhenti daripada menjadi ahli pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Cawangan Negeri dan menjelaskan segala hutangnya.
(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemar nama baik pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Cawangan Negeri memecat atau menggantung keahlian tersebut, ahli itu atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung cawangan menunda atau membatal keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
FASAL 8 MESYUARAT PERWAKILAN
(1) Bagi undang-undang ini, seorang ‘ahli-terus’ maknanya ialah seorang ahli pertubuhan yang tidak menjadi ahli cawangan dan seorang ‘wakil ahli’ maknanya ialah seorang wakil yang dilantik oleh ahli-ahli terus.
(2) Perlantikan pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat perwakilan yang mengandungi wakil-wakil Cawangan Negeri dan wakil-wakil ahli dan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat. Sebarang ahli pertubuhan dengan persetujuan Presiden boleh di dalam mesyuarat perwakilan tetapi ia tidak boleh bercakap atau mengundi.
(3) Wakil-wakil Cawangan Negeri hendaklah dipilih tiap-tiap tahun oleh Cawangan Negeri masing-masing dan mereka boleh dipilih semula. Sesuatu cawangan berhak memilih 5 wakil bagi 100 ahli yang pertama atau sebahagian daripada jumlah itu dan 2 wakil lagi bagi tiap-tiap 100 ahli lebih daripada 100 ahli yang pertama, dengan syarat jumlah wakil bagi sesuatu cawangan tidak lebih daripada 30.
(4) Wakil-wakil hendaklah dipilih tiap-tiap tahun oleh ahli-ahli terus dan mereka boleh dipilih semula 5 wakil boleh dipilih bagi 100 ahli yang pertama atau sebahagiannya dan tambahan 2 wakil bagi 100 ahli lebih daripada 100 ahli yang pertama, dengan syarat jumlah wakil ahli tidak lebih daripada 30.
(5) Ahli Jawatankuasa Pusat tidak boleh dipilih menjadi wakil Cawangan Negeri atau wakil ahli-ahli. Ahli Jawatankuasa Pusat dan wakil-wakil yang hadir berkuasa mengundi di dalam mesyuarat perwakilan.
(6) Kuorum untuk mesyuarat perwakilan dianggap cukup jika wakil-wakil yang hadir, berjumlah 70 orang atau lebih.
(7) Jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 14 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat dan jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah wakil-wakil yang hadir menjalankan mesyuarat pada hari itu tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan mengenai semua ahli.
(8) Mesyuarat Tahunan Perwakilan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada Oktober pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat. Kerja-kerja Mesyuarat Tahunan Perwakilan ialah :
(a) Menerima laporan Jawatankuasa Pusat berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun yang lalu;
(b) Menerima laporan Bendahari Agung dan penyata
(c) kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;
(d) Memilih ahli-ahli Jawatankuasa Pusat dan dua orang Juruaudit untuk tahun yang akan datang dan
(e) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan dalam mesyuarat itu;
(9) Pengumuman awal mengenai Mesyuarat Tahunan Perwakilan yang menyatakan tarikh, waktu dan tempat, dan panggilan mengemukakan cadangan untuk perbincangan, cadangan untuk meminda undang-undang dan pencalonan untuk pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat hendaklah dikirimkan oleh Setiausaha Agong kepada tiap-tiap Setiausaha Cawangan Negeri tidak lewat daripada 60 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat dan pengumuman ini hendaklah ditunjukkan supaya jelas kelihatan di tempat urusan pertubuhan yang telah didaftarkan. Tiap-tiap Setiausaha Cawangan Negeri hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan tidak lewat daripada 30 hari setelah menerima pengumuman awal itu.
(10) Nama-nama wakil, pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai dan cadangan untuk dibincangkan di dalam mesyuarat hendaklah dihantar oleh Setiausaha Cawangan Negeri atau ahli-ahli secara individu supaya sampai kepada Setiausaha Agung tidak lewat daripada 40 hari selepas penerima pengumuman awal mesyuarat.
(11) Setiausaha Agung, jika boleh hendaklah mengadakan mesyuarat ahli-ahli terus tidak kurang daripada 30 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk Mesyuarat Perwakilan untuk melantik wakil-wakil ahli dengan syarat jika keadaan tempat yang berjauhan tidak sesuai bagi mengadakan mesyuarat, maka cara melantik wakil-wakil ahli hendaklah diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat.
(12) Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada Setiausaha Cawangan Negeri sekurang-kurangnya 7 hari sebelum diadakan mesyuarat satu agenda termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan, cadangan dan pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai berserta dengan penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini hendaklah diberikan kepada tiap-tiap wakil Cawangan Negeri dan wakil ahli dan salinan surat itu boleh diperolehi untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan pertubuhan atau di pejabat-pejabat Cawangan Negeri.
(13) Mesyuarat Khas Perwakilan bagi Pertubuhan ini boleh diadakan :
(a) Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Pusat atau
(b) Atas permintaan dengan bertulis oleh ahli-ahli jawatankuasa bagi dua Cawangan Negeri atau lebih atau oleh tidak kurang daripada 20 orang ahli-ahli terus dengan menerangkan tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.
(14) Mesyuarat Khas Perwakilan yang diminta oleh Cawangan-Cawangan Negeri atau ahli-ahli terus hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan mesyuarat itu.
(15) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Khas Perwakilan itu hendaklah diedarkan kepada semua Setiausaha Cawangan Negeri oleh Setiausaha Agung sekurang-kurangnya 15 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat.
(16) Fasa 7(6) dan 7(7) di dalam undang-undang ini berkenaan kuorum dan penangguhan Mesyuarat Tahunan Perwakilan boleh digunakan untuk Mesyuarat Khas Perwakilan, tetapi dengan syarat jika kuorum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Khas Perwakilan itu atas permintaan Cawangan-Cawangan Negeri, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan sekurang-kurangnya 6 bulan daripada tarikh ini mesyuarat Khas Perwakilan yang dipohon dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
(17) Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada semua Setiausaha Cawangan Negeri salinan angka peringatan tiap-tiap Mesyuarat Tahunan Perwakilan atau Mesyuarat Khas Perwakilan dengan seberapa segera setelah selesainya mesyuarat itu.
FASA 9 JAWATANKUASA PUSAT
(1) (a) Satu Jawatankuasa Pusat seperti berikut yang dinamakan Pegawai-pegawai Pertubuhan hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan:
i Seorang Presiden
ii Dua orang Timbalan Presiden
iii Seorang Setiausaha Agung
iv Seorang Penolong Setiausaha Agung
v Seorang Bendahari Agung
vi Seorang Penolong Bendahari Agung
vii 8 Ahli Jawatankuasa Biasa
viii 14 Wakil Cawangan Negeri
(b) Semua ahli yang berkhidmat di dalam jawatankuasa Pusat dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif di dalam Pertubuhan ini hendaklah warganegara Malaysia.
(2) Nama-nama untuk jawatan-jawatan yang di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh wakil-wakil cawangan /ahli di dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan. Semua pegawai, kecuali Bendahari Agung boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.
(3) Fungsi Jawatankuasa Pusat ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan pertubuhan mengikut dasar Am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Perwakilan. Jawatankuasa Pusat seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Perwakilan dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa Pusat mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Perwakilan. Jawatankuasa Pusat hendaklah memberi laporannya berkenaan kegiatan-kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Tahunan Perwakilan.
(4) Jawatankuasa Pusat hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam 3 bulan dan 7 hari pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli. Presiden dengan bersendirian, atau tidak kurang daripada 3 orang ahli Jawatankuasa Pusat bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa Pusat pada bila-bila masa. Jawatankuasa Pusat hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan kuorum mesyuarat.
(5) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa Pusat dan mesyuarat tidak dapat diadakan, maka bolehlah Setiausaha Agung mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pusat secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut hendaklah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa Pusat boleh dianggap sebagai telah terima:
(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa Pusat;
(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang diperolehi melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Agung kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat berikutnya hendaklah disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.
(6) Ahli Jawatankuasa Pusat yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pusat tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa Pusat.
(7) Jika seorang ahli Jawatankuasa Pusat meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa Pusat melantik ahli Pertubuhan yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Tahunan Perwakilan diadakan.
(8) Jawatankuasa Pusat boleh memberi perintah kepada Setiausaha Agung dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan-urusan pertubuhan. Ia boleh menggantung atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, ingkar menjalankan keputusan Jawatankuasa Pusat atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.
FASAL 10 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI
(1) Presiden, dalam tempoh memegang jawatannya hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Perwakilan dan semua Mesyuarat Jawatankuasa Pusat dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha Agung dan Bendahari Agung.
(2) Naib Presiden hendaklah memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.
(3) Setiausaha Agung hendaklah menjalankan kerja Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Perwakilan dan Jawatankuasa Pusat. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku kewangan. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Presiden dan Bendahari Agung.
(4) Penolong Setiausaha Agong hendaklah menolong Setiausaha Agung menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha Agung.
(5) Bendahari Agung adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah menyimpan akaun bagi semua urusan kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Presiden dan Setiausaha Agung.
(6) Ahli-ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa Pusat menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.
FASAL 11 KEWANGAN
(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini, wang pertubuhan boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji dan upah pemeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
(2) Bendahari Agung dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM200.00 (RM Dua Ratus) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan di dalam tempoh tujuh hari ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat. Kira-Kira bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.
(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Presiden (atas ketiadaannya oleh Naib Presiden), Setiausaha Agung dan Bendahari Agung. Semasa ketiadaan Setiausaha Agung atau Bendahari Agung, maka bolehlah Jawatankuasa Pusat melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menurunkan tandatangan.
(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM5,000.00 (RM Lima Ribu) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Pusat, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM10,000.00 (RM 10 Ribu) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Perwakilan terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM1,000.00 (RM Satu Ribu) boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha Agung dan Bendahari Agung.
(5) Penyata dari hal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan dan diperiksa oleh Juruaudit yang dilantik di bawah Fasa 12 undang-undang ini dengan seberapa segeranya setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Tahunan Perwakilan yang berikutnya dan salinan boleh diperolehi untuk makluman ahli di alamat tempat urusan pertubuhan yang berdaftar dan dari pejabat tiap-tiap cawangan.
(6) Tahun kewangan Pertubuhan ini berakhir pada 30 April tiap-tiap tahun.
FASAL 12 JURUAUDIT
(1) Dua orang yang bukannya pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan sebagai Juruaudit. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan tidak boleh dilantik semula.
(2) Juru audit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan dan Cawangan-Cawangan Negeri bagi setahun, dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Tahunan Perwakilan dan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Negeri, Mereka juga dikehendaki bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Pertubuhan atau Cawangan-Cawangan pada bila-bila masa di dalam tempoh jawatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Pusat.
FASA 13 PENGAMANAH
(1) Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tak alih yang dipunyai oleh Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).
(2) Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik dan menukarkan harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Perwakilan.
(3) Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Perwakilan oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana kerana lain sebab yang mengakibatkan ia tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan.
(4) Jika berlaku kematian, peletakan jawatan atau pemecatan seseorang Pengamanah maka kekosongan boleh dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Perwakilan dengan secepat mungkin.
FASAL 14 : PEMBUBARAN
(1) Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) jumlah semua Wakil Cawangan Negeri yang hadir di dalam suatu Mesyuarat Perwakilan yang dipanggil khas kerananya.
(2) Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui di dalam Mesyuarat Perwakilan berkenaan.
(3) Kenyataan mengenai pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.
FASAL 15 : PENUBUHAN DAN PEMBUBARAN CAWANGAN-CAWANGAN NEGERI
(1) Jawatankuasa Pusat boleh membenarkan penubuhan Cawangan di Negeri yang mempunyai Cawangan Negeri hendaklah dibenarkan secara bertulis oleh Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
(2) Jawatankuasa Pusat boleh membubarkan Cawangan Negeri:
a. Jika bilangan ahli-ahli di dalam tempoh enam bulan berturut-turut kurang daripada 100 atau
b. Jika Cawangan Negeri tidak mematuhi undang-undang pertubuhan atau keputusan Mesyuarat Perwakilan atau Jawatankuasa Pusat atau jika Jawatankuasa Pusat mendapatinya bersalah kerana perbuatannya mencemarkan Pertubuhan.
(3) Keputusan membubarkan Cawangan Negeri hendaklah dengan undi terbanyak di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat, dengan syarat sebelum diambil keputusan membubarkan Cawangan atas sebab yang disebutkan di dalam Fasal 15(2)(b) di atas.Cawangan Negeri yang berkenaan hendaklah diberi peluang untuk menjawab tuduhan-tuduhan tersebut.
(4) Perintah pembubaran hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Agung Cawangan Negeri tidak boleh bergerak mulai dari tarikh penerimaan perintah tersebut kecuali untuk urusan penyelesaian .Sebarang Cawangan Negeri yang musykil atas perintah pembubaran boleh dengan kenyataan bertulis kepada Setiausaha agug di dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penerimaan perintah tersebut membuat rayuan keada Mesyuarat Perwakilan.walaupun rayuan telah dibuat namun perintah pembubaran masih berkuatkuasa sehingga dibatalkan tetapi di dalam keadaan yang sedemikian Jawatankuasa Pusat boleh melantik satu Jawatankuasa penjaga daripada ahli-ahli untuk menguruskan hal ehwal Cawangan Negeri itu sementara rayuan tersebut dipertimbangkan.
(5) Jika sesuatu Cawangan ditutup kerana sebab yang disebutkan dalam Fasal 15(2) di atas maka
a. Jawatankuasa Pusat hendaklah memindahkan ahli-ahli yang ada kepada Cawangan Negeri
b. Yang hampir sekali dan jika Cawangan Negeri ditutup kerana sebab di dalam peraturan 15(2)(b) di atas maka ahli-ahli akan terhenti menjadi ahli Pertubuhan.
(6) Adalah menjadi kewajipan Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari bagi Cawangan Negeri itu menyerahkan kepada Bendahari bagi Cawangan Negeri itu menyerahkan kepada Setiausaha Agung segala buku, rekod ,wang dan harta-harta lainnya yang dimiliki oleh Cawangan Negeri berserta dengan penyata kira-kira Cawangan Negeri itu daripada tarikh akhir pengemukaan penyata kira-kira itu dibentangkan sehingga tarikh perintah pembubaran.
(7) Jika ahli-ahli sesuatu Cawangan Negeri memutuskan hendak keluar daripada Pertubuhan, maka pegawai-pegawai Cawangan Negeri itu dengan serta merta mestilah menyerahkan kepada Setiausaha Agung segala buku, rekod, wang dan harta-harta lain Pertubuhan dan seterusnya menyedia dan menyerahkan penyata kira-kira kepada Setiausaha Agung seperti di dalam Fasal 15(6) di atas.
FASAL 16 : MESYUARAT AGUNG CAWANGAN NEGERI
(1) Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Negeri akan diadakan tidak lewat daripada 30 hari selepas menerima pemberitahuan awal mengenai Mesyuarat Tahunan Perwakilan supaya pemberitahu mengenai masa, tarikh dan tempat Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan akan dikeluarkan dengan sewajarnya.
(2) Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Negeri ialah untuk:
a. Menerima laporan Bendahari Cawangan Negeri dan Kira-kira Cawangan Negeri yang telah diaudit bagi tahun lepas.
b. Memilih wakil-wakil Mesyuarat Perwakilan untuk tahun hadapan.
c. Memilih Jawatankuasa Cawangan Negeri dan Juruaudit Cawangan Negeri untuk tahun hadapan.
d. Membincangkan perkara-perkara lain yang akan dibentangkan.
(3) Setiausaha Cawangan Negeri hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 21 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Negeri pemberitahu awal yang menyatakan tarikh,waktu dan tempat mesyuarat,panggilan mengemukakan cadangan untuk perbincangan dan pencalonan untuk pemilihan pegawai Cawangan Negeri.
(4) Pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai dan cadangan untuk perbincangan di dalam mesyuarat tersebut hendaklah disampaikan kepada Setiausaha Cawangan Negeri tidak lewat daripada 7 hari selepas penerimaan pemberitahu awal mesyuarat.
(5) Setiausaha Cawangan Negeri hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum diadakan Mesyuarat agung Tahunan Cawangan Negeri satu agenda (acara mesyuarat) termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan berserta dengan penyata kira-kira Cawangan Negeri bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga boleh diperolehi untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Cawangan Negeri.
(6) Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli-ahli Cawangan Negeri berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli jawatankuasa Cawangan Negeri mengikut mana yang kurang hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Negeri bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi kuorum untuk mesyuarat.
(7) Jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 7 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Cawangan Negeri dan jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka ahli-ahli berkuasa menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.
(8) Suatu Mesyuarat agung Khas Cawangan Negeri hendaklah diadakan:
a. Atas arahan Jawatankuasa Pusat atau
b. Apabila Jawatankuasa Cawangan Negeri memikirkannya mustahak
c. Atas permintaan bertulis tidak kurang daripada 50 ahli-ahli Cawangan Negeri dengan menyatakan tujuan dan sebab untuk mengadakan mesyuarat itu.
(9) Mesyuarat Agung Khas Cawangan Negeri atas permintaan ahli-ahli hendaklah diadakan dalam tempoh 15 hari dari tarikh peneriamaan mesyuarat tersebut.
(10) Fasal 16(6) dan 16(7) di dalam undang-undang ini berkenaan kuorum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Negeri boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas Cawangan Negeri tetapi dengan syarat jika kuorum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi mesyuarat agung Khas Cawangan Negeri atas permintaan ahli-ahli tersebut maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Agung Khas Cawangan Negeri atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
(11) Setiausaha Cawangan Negeri hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli dan Setiausaha Agung satu salinan draf catatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Cawangan Negeri dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.
FASAL 17 : JAWATANKUASA CAWANGAN NEGERI
(1) (a) Sesuatu Jawatankuasa Cawangan Negeri seperti berikut yang akan dikenali sebagai pemegang jawatan Cawangan Negeri akan dipilih pada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Negeri:
i. Seorang Yang DiPertua Cawangan Negeri
ii. Seorang Naib Yang DiPertua Cawangan Negeri
iii. Seorang Setiausaha Cawangan Negeri
iv. Seorang Penolong Setiausaha Cawangan Negeri
v. Seorang Bendahari Cawangan Negeri dan
vi. 14 Ahli Jawatankuasa Biasa Cawangan Negeri
(b) Semua ahli yang berkhidmat di dalam Jawatankuasa Cawangan Negeri dan tiap-tiap pegawai lain yang menjalankan tugas-tugas eksekutif dalam Cawangan Negeri hendaklah warganegara Malaysia.
(2) Nama-nama untuk jawatan yang di atas hendaklah dicadang dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan Negeri semua pegawai kecuali Bendahari Cawangan Negeri boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.
(3) Pekerjaan Jawatankuasa Cawangan Negeri ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Cawangan Negeri mengikut Undang-undang Pertubuhan dan arahan-arahan Jawatankuasa Pusat dan Mesyuarat Perwakilan Jawatankuasa Cawangan Negeri hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 3 bulan dan cukup kuorum jika hadir satu perdua (1/2) daripada ahli-ahlinya. Setiausaha Cawangan Negeri akan member satu salinan peringatan tiap-tiap mesyuarat kepada Setiausaha agung tidak lewat daripada 7 hari selepas mesyuarat itu diadakan.
FASAL 18 : TUGAS-TUGAS PEGAWAI-PEGAWAI CAWANGAN NEGERI
(1) Yang Dipertua Cawangan Negeri dalam tempoh memegang jawatannya akan menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung Cawangan Negeri dan semua Mesyuarat Jawatankuasa Cawangan Negeri serta bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat.Ia mempunyai undi pemutus dan akan menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat setelah diluluskan.Ia hendaklah menandatangani semua cek cawangan negeri bersama-sama dengan Setiausaha Cawangan Negeri dan Bendahari Cawangan Negeri.
(2) Naib Yang Dipertua Cawangan Negeri akan memangku jawatan Yang Dipertua Cawangan Negeri semasa ketiadaannya.
(3) Setiausaha Cawangan Negeri hendaklah menjalankan kerja-kerja Cawangan Negeri mengikut undang-undang dan ia hendaklah menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung Cawangan Negeri dan Jawatankuasa Cawangan Negeri. Ia bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat Cawangan Negeri dan membuat catatan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Cawangan Negeri bersama-sama dengan Yang Dipertua Cawangan Negeri dan Bendahari Cawangan Negeri.
(4) Penolong Setiausaha Cawangan Negeri hendaklah membantu Setiausaha Cawangan Negeri menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu dalam masa ketiadaannya.
(5) Bendahari Cawangan Negeri adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Cawangan Negeri. Ia hendaklah mengurus dan menyimpan kira-kira mengenai urusan kewangan Cawangan Negeri dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.
(6) Ahli Jawatankuasa Biasa Cawangan Negeri hendaklah membantu Jawatankuasa Cawangan Negeri menjalankan sebarang tugas yang diarah olehnya.
FASAL 19 : KEWANGAN CAWANGAN NEGERI
(1) Semua wang yang dikutip di Ibu Pejabat dan Cawangan-cawangan Negeri Pertubuhan akan menjadi aset Pertubuhan.
(2) Mesyuarat Tahunan Perwakilan akan menentukan dari masa ke semasa peratusan kadar yuran yang akan disimpan di Cawangan Negeri sebagai kumpulan wang Cawangan Negeri dan akan menetapkan jenis-jenis perbelanjaan yang akan menggunakan wang Cawangan Negeri.
(3) Tiap-tiap Bendahari Cawangan Negeri hendaklah menyediakan satu Penyata Kewangan berakhir pada 30 April setiap tahun dan hendaklah disampaikan kepada Bendahari Agung dalam tempoh 30 hari selepas tarikh tersebut.
(4) Bendahari Cawangan Negeri diminta menutup akaun Cawangan Negeri masing-masing setiap bulan, sebelum 15hb bulan berikutnya.
(5) Semua wang Cawangan Negeri hendaklah disimpan di atas nama Cawangan Negeri di dalam bank yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Cawangan Negeri dan kira-kira wang itu akan dikelolakan bersama-sama oleh Yang Dipertua Cawangan Negeri, Bendahari Cawangan Negeri dan Setiausaha Cawangan Negeri. Bendahari Cawangan Negeri dibenarkan menyimpan wang di dalam tangan sebanyak tidak lebih daripada RM200.00 (RM Dua Ratus) pada suatu masa. Perbelanjaan yang melebihi RM3,000.00(RM Tiga Ribu)pada suatu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran diperolehi terlebih dahulu daripada Jawatankuasa Cawangan Negeri dan perbelanjaan yang kurang RM1,000(RM Satu Ribu) bagi suatu masa boleh diluluskan oleh Yang Dipertua Cawangan Negeri bersama-sama dengan Setiausaha Cawangan Negeri dan Bendahari Cawangan Negeri.
(6) Semua wang, buku dan harta-harta lain Pertubuhan yang dipegang oleh mana-mana Cawangan Negeri yang telah dibubarkan akan dihantarkan dengan segera oleh Setiausaha Cawangan Negeri kepada Setiausaha Agung bersama-sama dengan penyata kira-kira sebagaimana dinyatakan pada Fasal 15(6) dan 15(7).
FASAL 20 : PERUNTUKAN-PERUNTUKAN UMUM MENGENAI CAWANGAN NEGERI
(1) Dimana peruntukan khas tiada disebut di dalam undang-undang ini bagi perkara-perkara berhubung dengan pentadbiran Cawangan-cawangan Negeri Pertubuhan undang-undang yang berkenaan mengenai pentadbiran Ibu Pejabat Pertubuhan akan diikuti sejauh mana yang sesuai.
(2) Mesyuarat Perwakilan dan Jawatankuasa Pusat akan member arahan kepada Mesyuarat Agung atau Jawatankuasa Cawangan Negeri mengenai pentadbirannya.
FASAL 21 : PINDAAN UNDANG-UNDANG
Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Perwakilan. Permohonan untuk perubahan dan pindaan undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh 28 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Perwakilan meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh berkuat kuasa mulai daripada tarikh perubahan-perubahan dan pindaan itu dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan.
FASAL 22 : TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
(1) Di antara berlangsungnya mesyuarat-mesyuarat perwakilan Jawatankuasa Pusat boleh memberikan tafsirannya kepada Undang-undang ini dan apabila mustahak memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat di dalam Mesyuarat Perwakilan keputusan Jawatankuasa Pusat ke atas ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Perwakilan.
FASAL 23 : LARANGAN
(1) Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Pertubuhan Roulette, Lotto, Fan, Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.
(2) Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959.
(3) Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawainya atau Jawatankuasa atau ahli tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.
(4) “Faedah” seperti yang ditafsirkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966 tidaklah boleh diberi oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.
Categories: Perlembangaan
0 comments:
Post a Comment